Friday, February 6, 2009

Ingin Kejayaan?




PENDAHULUAN

Anda mahu mencapai kejayaan? Tahukah anda bahawa ada langkah-langkah tertentu yang, jika anda ikuti, akan membawa anda kepada apa sahaja yang anda kehendaki? Tahukah anda bahawa ada 13 “ciri” (atau sifat) yang dimiliki semua orang yang berjaya dalam lapangan masing-masing? Dan tahukah anda bahawa ada 5 prinsip penting yang perlu diambil perhatian untuk berjaya dalam hidup di dunia ini? Kursus ini akan membincangkan tiga perkara itu: Pertama, tentang langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mencapai kejayaan. Perkara kedua ialah tentang ciri-ciri yang perlu anda miliki (bangunkan dalam diri) untuk berjaya. Perkara ketiga ialah tentang lima prinsip kehidupan yang perlu diberikan perhatian.


DEFINISI KEJAYAAN

Ada banyak definisi “kejayaan” yang telah dirumus orang. Masing-masing dengan tujuan dan penekanan tersendiri. Dalam kursus ini, saya takrifkan “kejayaan” sebagai “pencapaian apa yang dikehendaki”. Ringkasnya: BERJAYA = MENDAPAT APA ANDA MAHU

KAJIAN TENTANG KEJAYAAN

Ilmu mencapai kejayaan telah dikaji orang dengan mendalam dan terperinci, terutamanya di barat. Antara nama-nama "besar" yang telah menghasilkan karya klasik dalam bidang ini ialah Napoleon Hill, Clement Stone, dan Norman Vincent Peale.

PERSONALITI YANG MELAMBANGKAN KEJAYAAN

1. Antara nama-nama yang sering disebut sebagai contoh orang yang berjaya ialah:
(a) Thomas Edison yang mereka bentuk 10,000 mentol elektrik sebelum berjaya, (b) Henry Ford yang memulakan sistem pengilangan kereta (secara 'assembly line') yang menimbulkan ketawa orang tetapi kemudiannya terbukti paling berjaya, dan (c) Colonel Sanders yang menerima 1,007 penolakan terhadap idea "ayam goreng" Kentucky yang dipeloporinya tetapi akhirnya menawan seluruh perniagaan di lapangan itu.

2. Beberapa bulan yang lalu, saya telah memberi ceramah tentang kejayaan kepada sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor. Saya tanyakan kepada peserta-peserta: siapakah contoh orang Malaysia yang mereka anggap telah mencapai kejayaan luar biasa (bersifat "fenomena"). Mereka semua menamakan penyanyi Siti Nurhaliza. Saya bersetuju dengan mereka.

BERSEDIALAH UNTUK BERUBAH

Ada satu perkara penting yang perlu anda perhatikan. Jika anda mahu berjaya, anda mesti sedia mengubah beberapa tabiat/kebiasaan anda untuk disesuaikan dengan petua-petua dalam kursus ini. Hal ini hanya ANDA SENDIRI yang dapat lakukan kerana perubahan mesti datang dari diri sendiri. Kalau anda tidak bersedia untuk berbuat begitu, mustahil anda akan mendapat manfaat daripada kursus ini. INGAT: Anda tidak mungkin mendapat hasil yang baru jika melakukan sesuatu dengan cara yang lama! AMARAN! Setelah mengikuti kursus ini, sentiasa berhati-hati dengan apa yang anda kehendaki kerana anda akan memperolehnya!

A: LANGKAH 5A UNTUK BERJAYA

Ada bermacam-macam "formula kejayaan" yang telah dicipta orang. Ada banyak buku yang telah ditulis tentangnya. Dalam kursus ini, saya akan membincangkan formula mudah yang saya bangunkan hasil daripada pembacaan yang lama dan dari pengalaman hidup sendiri setakat ini. Formula ini saya namai formula 5A untuk berjaya. (Bayangkan anda mendapt 5A dalam peperiksaan UPSR. Satu kejayaan cemerlang yang awal dalam hidup). Langkah-langkah kejayaan yang saya cadangkan adalah seperti yang berikut:

L1. Aim L2. Act (+Adjust +Ask) L3. ACHIEVE L4. Acclaim L5. Acclimitise
Dalam BM, formula ini dapat juga dinamai Formula 5S:

L1. Sasar L2. Serang (+Selaras + Soal) L3. SAMPAI L4. Syukur L5. Sesuai
Dalam kursus ini, kita akan gunakan istilah "Formula 5A" atau "Langkah 5A" sahaja. Perhatikan bahawa langkah tambahan "adjust" ("selaras") dan "ask" ("tanya"/"minta") di antara L2 dengan


L3 ditambah untuk mengambil kira keadaan tertentu apabila


L2 tidak dapat membawa anda secara terus ke L3. Hal ini akan dijelaskan di bawah Langkah "Act" ("Serang") nanti. Perhatikan bahawa ACHIEVE (mendapat atau SAMPAI pada kejayaan) berada di tengah-tengah di antara L1&2 dengan L4&5. Maknanya: anda perlu buat dua perkara sebelum mencapai kejayaan dan dua perkara setelah kejayaan diperoleh.

LANGKAH 1: AIM

Langkah ini ialah langkah yang paling penting. Maka saya akan berbincang dengan agak panjang lebar mengenainya.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan "Aim" ?
"Aim" bersinonim dengan membidik "goal" (sasaran atau matlamat). Sebelum anda boleh mencapai sesuatu kejayaan, anda perlu tentukan apa yang anda mahu. Proses ini ialah proses menentukan matlamat, atau gol. (Saya gunakan istilah "gol" dalam kursus ini dengan makna ""matlamat" atau "sasaran". Makna "gol" yang sedemikian telah diterima dalam Kamus Dewan.) Jika gol tidak ditentukan, anda tidak akan mencapainya. Langkah "menentukan gol" ini ialah langkah yang paling penting. Bayangkan orang yang bermain bola. Mesti ada tiang golnya. Kalau tidak ada, tidak mungkin ada jaringan. Masalahnya, terlalu ramai daripada kita yang bermain "bola kehidupan" dengan tidak menentukan tiang golnya. Kita sekadar menyepak bola ke sana ke mari tanpa tujuan yang pasti. Dalam Islam ada konsep "niat". Semua pekerjaan, terutamanya ibadat penyembahan formal, hendaklah dimulai dengan niat. Malah Allah memberi ganjaran berdasarkan niat kita, bukan pencapaian kita. "Niat" ini, secara kasarnya, bersinonim dengan menentukan matlamat. AMARAN DARI PENULIS: Jika anda tidak menentukan ke mana anda hendak pergi, anda tidak akan sampai ke sesuatu destinasi. Kalau pun anda tersampai, anda tidak akan sedar yang anda telah sampai. Kalau pun anda tersedar yang anda telah sampai, anda tidak akan tahu apa yang hendak dibuat (bagaimana hendak memanfaatkan sampainya anda di situ); maka sampainya anda adalah sampai yang sia-sia sahaja. AMARAN: Orang yang tidak menuju ke mana-mana biasanya akan sampai ke situ. (A man going nowhere normally gets there.)

2. Bagaimanakah caranya menentukan gol kita?

INGAT! Menentukan gol bererti menetukan destinasi. Dalam konteks ini, haruslah diingat bahawa: Dari mana anda datang tidak penting. Di mana anda berada tidak penting. Yang penting ialah KE MANA anda mahu pergi. Malangnya, jika anda tanya sesiapa pun, mereka dengan mudah dapat menjawab soalan dari mana mereka datang dan di mana mereka berada. Sayangnya, tidak ramai yang dapat menjawab soalan ke mana mereka mahu pergi.
EMPAT (4) perkara penting dalam menentukan gol adalah seperti yang berikut:

(1) TULIS

Dalam menentukan gol anda, anda MESTI TULIS gol anda itu di atas kertas (dalam buku khas): Minda anda ialah alat yang sentiasa mencari gol untuk dicapai. Tetapi minda memerlukan sasaran yang ditentukan dengan jelas. Matlamat yang tidak dituliskan akan tinggal sebagai angan-angan kosong. Minda anda akan terikat untuk mencapai matlamat itu apabila matlamat itu telah tertulis ke atas kertas. Contoh matlamat (gol) yang boleh ditulis: - mendapat 9A dalam peperiksaan pada bulan November 2003 nanti - menerbitkan 10 buah puisi di media cetak perdana pada tahun 2003 - mendapat kerja di sektor swasta pada bulan Jun 2003 ("Gol" anda perlulah spesifik dan tidak terlalu umum). INGAT (KATA ORANG TUA-TUA): Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (Yang penting ialah "kemahuan"; jalannya pasti akan menjelma kemudian). AMARAN: Anda mesti tuliskan apa yang anda mahu. Dapatkan segera sebuah buku kecil dan tuliskan segera apa-apa yang anda mahu capai. Selagi hal ini tidak dilakukan, minda anda tidak mempunyai iltizam yang cukup untuk mencapainya. Bincangkan gol yang anda tulis itu dengan orang yang rapat dengan anda dan akan menyokong anda. JANGAN bincangkan dengan sesiapa yang akan memperlekehkannya. Bacalah catatan anda itu selalu-selalu, sekurang-kurangnya sekali sehari.

(2) MULA DARI AKHIR

Dalam menentukan gol anda, anda mesti BERMULA DARI AKHIR: Tentukan gol terakhir anda sebelum sebarang langkah diambil untuk mencapainya. INGAT: Apakah yang terjadi kepada Mat Jenin? Dia mati jatuh dari pokok kelapa. Kenapa? Kerana dua sebab: Pertama, Mat Jenin tidak menuliskan apa yang dia mahu. Kedua, Mat Jenin bergerak selangkah demi selangkah dari angan-angan pertama (menjual kelapa). Dia tidak mulakan golnya dengan "berkahwin dengan tuan puteri". Sepatutnya dia "memeluk tuan puteri" semasa dia di banir pokok kelapa lagi, sebelum dia mula memanjat pokok kelapa itu. AMARAN: Gol yang tidak dimulakan dengan LANGKAH PALING AKHIR menjadi angan-angan Mat Jenin (day dreaming). "Contohilah Mat Jeni, bukan Mat Jenin: tentu matlamatrancang carabaru panjatbatang kelapa." (Nasihat dari puisi "Mat Jeni" oleh Irwan Abu Bakar, Dewan Budaya, Disember 97).
INGAT: Apabila saya katakan GOL TERAKHIR, saya maksudkan gol duniawi (tidak mutlak). Sebagai orang yang beragama, gol terakhir kita yang mutlak ialah MATI DAN MASUK SYURGA. Hal ini tidak akan dibincangkan dengan mendalam di sini. Namun gol mutlak itu perlu diingati kerana semua gol lain hendaklah berpaksikan gol mutlak itu. Setelah menuliskan gol terakhir, anda tuliskan langkah-langkah yang akan anda ambil untuk mencapai gol itu. Langkah-langkah ini ialah "peta" yang memandu anda ke arah gol itu. ("Jalan" pada "peta" ini akan anda jejaki untuk sampai ke destinasi.)

(3) MAHU

Dalam menentukan gol anda, anda mesti BENAR-BENAR MAHU apa yang anda hendak capai: Anda mesti menjiwai cita-cita anda. Sikap sambil lewa terhadap cita-cita akan menghalang pencapaiannya. Kebolehan anda tidak penting. Yang penting ialah kemahuan anda. Di sini "kemahuan" bererti "hajat yang sangat mendalam", atau "keinginan yang membara" (intense desire). AMARAN: Yang menentukan DARJAT ialah HAJAT, bukannya BAKAT. Dalam bahasa Inggeris dikatakan bahawa "Attitude, not aptitude, determines altitude".

(4) PERCAYA

Dalam menentukan gol anda, anda mesti PERCAYA akan mencapai apa yang anda kehendaki: Anda akan mencapai kehendak anda hanya jika anda percaya yang anda akan mencapainya. Seperti kata Henry Ford: Jika anda berkata "aku boleh" atau "aku tak boleh", anda sentiasa betul! (Maknanya, jika anda percaya yang anda boleh mencapai gol anda, maka anda akan mencapainya, dan begitulah sebaliknya, jika anda percaya yang anda tidak boleh mencapai gol anda, maka anda tidak akan mencapainya.) INGAT: Minda anda ialah alat yang tugasnya memenuhi gol anda (seperti jin dalam lampu Aladin). Apa yang minda anda dapat fikir dan percaya, minda akan dapat capai. (What the mind can conceive and believe, the mind can achive.) Perhatikan bahawa konsep PERCAYA itu ditegaskan dalam agama. Al-Quran, misalnya, bermula dengan menegaskan kebergunaannya untuk orang yang percaya sahaja: "Alif laam miim. Kitab ini tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang taqwa, yaitu orang-orang yang beriman (percaya) kepada yang ghaib, mendirikan sembahyang, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka; Dan orang-orang yang beriman kepada (Kitab) yang diturunkan kepada engkau (ya Muhammad) dan (Kitab-kitab) yang diturunkan sebelum engkau, sedang mereka itu yakin (percaya) akan adanya (hari) akhirat. Mereka itu atas petunjuk pada Tuhannya; dan mereka itulah orang-orang yang menang." (Al-Baqarah, ayat 1-5).

No comments:

Post a Comment